23 May 2011

Perutusan Hari Guru-2011- Menteri Pelajaran Malaysia


Berikut adalah teks ucapan penuh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena sambutan Hari Guru 2011 yang berlangsung di Borneo Convention Centre di sini pada petang Isnin.
Dalam ucapannya itu, Muhyiddin telah mengumumkan beberapa keputusan penting tentang jawatan dan profesion perguruan.
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia;
Yang Amat Berhormat Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak;
Yang Berhormat Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia;
Yang Berhormat Dr Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia;
Yang Berbahagia Datuk Dr Rosli Mohamad, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia;
Yang Berbahagia Datuk Abdul Ghafar Mahmud,Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;
Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;




Pengarah Jabatan Pelajaran Sarawak, Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pelajaran Malaysia;
Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri;
Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan, Puan-puan dan para guru yang saya hormati sekalian.
1. Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berhimpun pada hari ini untuk menyambut Hari Guru sebagai tanda pengiktirafan kita yang tidak terhingga terhadap jasa dan sumbangan para guru sekalian.
2. Selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, saya ingin mengambil kesempatan pada hari yang amat bermakna ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru, sama ada yang masih berkhidmat atau pun yang telah bersara. Saya bagi pihak kerajaan ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan di atas segala pengorbanan dan sumbangan besar guru-guru dalam meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa dan memajukan negara kita.

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
3. Pemilihan tema Hari Guru tahun ini iaitu “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara” pada hemat saya adalah amat bertepatan dengan peranan guru sebagai penggerak utama proses transformasi pendidikan, yang menjadi penentu kepada kejayaan transformasi negara kita. Sentuhan keramat guru telah melahirkan ramai cendakiawan, golongan profesional, usahawan, peniaga dan seluruh warga pekerja yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kemajuan negara kita selama ini.
4. Maka, pada saat negara kita sedang berada di ambang peralihan daripada sebuah negara membangun kepada sebuah negara maju berpendapatan tinggi, peranan guru menjadi lebih penting lagi. Di pundak guru-guru letaknya harapan kita semua untuk melihat kualiti pendidikan negara melonjak ke tahap yang terbaik, dan dengan itu memastikan sistem pendidikan negara kita dapat melahirkan modal insan yang berkualiti untuk memacu transformasi negara ke tahap yang lebih tinggi. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa seluruh harapan dan cita-cita rakyat untuk menjayakan proses transformasi negara dipertaruhkan kepada saudara dan saudari yang bergelar guru.
5. Kerajaan sememangnya telah membuat perencanaan yang amat rapi untuk menjayakan proses transformasi pendidikan negara. Ini termasuklah pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan yang merupakan mekanisme utama untuk menjayakan agenda penting ini. Namun, kita juga akur bahawa perencanaan yang rapi sahaja tidak menjamin keupayaan kita untuk mencapai setiap sasaran yang ditetapkan. Lebih penting ialah pengorbanan dan daya juang para guru dalam menjayakan setiap perencanaan yang dilakar oleh kerajaan. Untuk itu, saya ingin mengambil kesempatan pada hari yang amat bermakna ini untuk merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan tahniah kepada para guru di atas jerih perih anda semua dalam mencapai sasaran-sasaran penting yang ditetapkan di bawah NKRA pendidikan, dan juga di bawah dasar-dasar serta program lain yang sedang dilaksanakan di Kementerian Pelajaran.
6. Dari segi pencapaian sasaran NKRA Pendidikan, Alhamdulillah, berkat curahan jasa dan bakti para guru sekalian, kita telah berjaya meningkatkan kadar penyertaan prasekolah kepada 72.42 peratus, iaitu melebihi sasaran 72 peratus yang ditetapkan untuk tahun 2010. Kadar literasi murid juga telah meningkat daripada 64 peratus kepada 85 peratus, manakala kadar numerasi meningkat daripada 73 peratus kepada 91 peratus. Kita juga telah mengumumkan senarai 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun 2010 dan untuk tahun 2011 sebanyak 23 buah sekolah lagi telah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi.
7. Lebih membanggakan kita, jasa guru untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan tidak mengenal batasan geografi. Guru-guru di pedalaman pun berupaya untuk melonjakkan prestasi sekolah. Ini dibuktikan misalnya dengan kejayaan SK Ulu Lubai, sebuah sekolah di kawasan pedalaman Sarawak, mendapat pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun ini. Di samping itu, inisiatif Tawaran Baru juga telah menunjukkan hasil yang amat positif apabila guru-guru daripada 1,400 buah sekolah telah berjaya melepasi sasaran prestasi yang ditetapkan untuk sekolah masing-masing, dan dengan itu layak untuk menerima bayaran insentif di atas perkhidmatan mereka yang cemerlang.
8. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada guru-guru yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan pelbagai inisiatif di bawah empat sub-NKRA pendidikan. Alhamdulillah, segala perit jerih guru-guru sekalian telah membuahkan hasil apabila Kementerian Pelajaran mendapat markah tertinggi dalam pencapaian KPI bagi tahun 2010. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada guru-guru dan semua pegawai Kementerian yang telah membantu saya menerajui Kementerian Pelajaran dengan baik sehingga kita berjaya mencapai kejayaan yang cemerlang ini. Untuk itu, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada guru-guru sekalian! Kejayaan yang amat bermakna ini adalah milik anda semua!

Sumbangan dan Sokongan Padu Guru
9. Walaupun telah banyak pencapaian yang dihasilkan dalam bidang pendidikan, masih banyak lagi yang perlu dilakukan oleh kita semua untuk memastikan supaya proses pemantapan kualiti pendidikan negara dapat berlaku secara berterusan. Atas kesedaran inilah, saya selaku Menteri Pelajaran telah menggagaskan beberapa dasar penting untuk dilaksanakan di setiap peringkat persekolahan.
10. Pertama, menyedari betapa mustahaknya anak-anak kita mempunyai tahap kesihatan dan kecergasan yang tinggi untuk membolehkan mereka menjadi manusia yang cerdas, maka saya telah memperkenalkan Dasar 1Murid 1Sukan. Dasar ini memberi peluang kepada setiap murid untuk melibatkan diri dalam acara sukan yang digemari dengan tujuan untuk meningkatkan tahap kecergasan dan kecerdasan mereka. Seperti kata pepatah Arab, “Al-‘aqlu al-salim, fi al-jismi al-salim”, yang bermaksud akal yang sihat terletak pada badan yang sihat.
11. Kedua, saya juga telah memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Kita sedar bahawa penguasaan bahasa Melayu adalah amat penting untuk memastikan setiap murid dapat menguasai ilmu yang diajar dalam bahasa Melayu, iaitu bahasa Kebangsaan negara kita dan bahasa pengantar di sekolah. Usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu dimulakan di sekolah lagi supaya anak-anak kita mempunyai rasa hormat yang tinggi kepada bahasa Kebangsaan yang merupakan bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di negara kita.
12. Pada masa yang sama, kita juga sedar bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid adalah amat penting untuk membolehkan mereka berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa utama di dunia. Maka, di bawah dasar MBMMBI ini, Kementerian Pelajaran telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menambahbaik pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah. Ini termasuklah dengan menggunakan khidmat kepakaran guru penutur jati bahasa Inggeris yang ditempatkan di Institut Pendidikan Guru dan di zon-zon tertentu untuk melatih guru-guru meningkatkan ilmu dan kemahiran mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris.
13. Ketiga, selaras dengan keperluan untuk melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif untuk memacu kemajuan negara, Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang memberi penekanan kepada pemupukan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Saya yakin transformasi kurikulum yang dilaksanakan pada tahun ini akan membuka lembaran baru kepada guru-guru untuk meneroka kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran yang lebih kreatif untuk mengasah bakat dan daya kreativiti murid secara lebih berkesan.
14. Keempat, untuk memastikan pendidikan negara mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, maka saya telah memberi tumpuan khusus kepada program transformasi pendidikan teknik dan vokasional. Sebagai langkah untuk memastikan murid mendapat pendidikan vokasional dan kemahiran yang berkualiti, maka KPM akan mengambil guru vokasional dan kemahiran baru yang diiktiraf dari pasaran terbuka seperti pusat latihan kemahiran tinggi dan universiti teknikal awam. Proses pengambilan guru-guru tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka mencecah 10,000 orang menjelang penghujung 2015. Dengan pelbagai usaha yang dilaksanakan untuk memperkasa pendidikan teknik dan vokasional, insyaAllah, kita akan berjaya meningkatkan peratusan pelajar aliran teknikal dan vokasional daripada 10 peratus kepada 20 peratus menjelang tahun 2015.
15. Kesemua dasar dan program yang saya sebutkan ini memerlukan sokongan padu para guru. Tanpa sokongan guru-guru sekalian, agak sukar untuk kita mencapai segala cita-cita murni yang dihasratkan melalui pelaksanaan dasar-dasar ini. Dasar akan tinggal dasar, perancangan akan tinggal perancangan. Untuk itu, saya berharap agar guru-guru sekalian dapat berada dalam satu saf bersama-sama saya dan seluruh kepimpinan Kementerian Pelajaran dalam melaksanakan setiap dasar ini dan seterusnya menjayakan agenda transformasi pendidikan demi masa depan negara kita.

Memartabatkan Profesion Keguruan
16. Sungguhpun jasa dan bakti guru sukar untuk dibalas, namun sebagai imbalan yang wajar kepada jasa-jasa guru, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada usaha untuk memartabatkan profesion keguruan. Dalam hubungan ini, pelbagai program latihan dalam perkhidmatan telah dilaksanakan oleh Kementerian untuk meningkatkan profesionalisme keguruan. Ini termasuklah program pensiswazahan guru yang mensasarkan bilangan guru siswazah sebanyak 60 peratus di sekolah rendah dan 90 peratus di sekolah menengah menjelang tahun 2015.
17. Dari segi peluang kenaikan pangkat pula, kerajaan telah memperuntukkan pelbagai faedah kepada perkhidmatan perguruan yang tidak dinikmati oleh perkhidmatan-perkhidmatan lain. Perkhidmatan perguruan adalah satu-satunya perkhidmatan yang diperuntukkan dengan lima (5) kaedah kenaikan pangkat iaitu:
(i) kenaikan pangkat mengisi kekosongan jawatan,
(ii) kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP),
(iii) kenaikan pangkat secara time-based,
(iv) kenaikan pangkat untuk Pengetua atau Guru Besar cemerlang dan
(v) kenaikan pangkat Guru Cemerlang.

18. Di samping itu, perkhidmatan perguruan juga menikmati satu lagi bentuk imbuhan berasaskan prestasi yang tidak dinikmati oleh mana-mana perkhidmatan awam lain iaitu Bayaran Insentif Tawaran Baru kepada pengetua, guru besar dan warga sekolah yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing. Alhamdulillah, insentif Tawaran Baru ini telah membuahkan hasil yang amat baik apabila jumlah guru dan pemimpin sekolah yang berjaya mendapat ganjaran adalah jauh melebihi sasaran awal yang ditetapkan. Ini bermakna, guru-guru kita mempunyai motivasi yang amat tinggi untuk melonjakkan prestasi sekolah. Saya berharap agar pencapaian cemerlang ini akan menjadi pencetus semangat kepada guru-guru untuk meneruskan usaha murni meningkatkan pencapaian di peringkat sekolah.
19. Selain itu, kerajaan juga telah meluluskan Bayaran Insentif Sekolah Berprestasi Tinggi bagi menghargai jasa guru dan kakitangan sokongan yang berkhidmat di Sekolah Berprestasi Tinggi. Insentif ini adalah tanda pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan guru-guru dalam melahirkan sekolah-sekolah yang berpencapaian cemerlang di negara kita. Dengan usaha berterusan guru-guru di seluruh negara untuk melonjakkan prestasi sekolah, saya berkeyakinan bahawa sasaran mewujudkan 100 buah Sekolah Berprestasi Tinggi menjelang tahun 2013 akan dapat dicapai.
20. Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar para guru kepada negara, kerajaan juga sentiasa berusaha untuk menambahbaik skim perkhidmatan pendidikan. Terbaru ialah pengumuman YAB Perdana Menteri hari ini mengenai beberapa penambahbaikan dalam skim perkhidmatan pegawai pendidikan yang pastinya disambut baik oleh guru-guru sekalian.
21. Saya selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada YAB Perdana Menteri yang telah memberikan tumpuan istimewa kepada profesyen keguruan dengan mengumumkan hadiah Hari Guru paling bermakna buat guru-guru di seluruh negara pada hari ini. Saya tahu YAB Perdana Menteri sentiasa mendengar keluhan guru-guru yang terpaksa mengambil masa terlalu lama untuk menikmati peluang kenaikan ke gred yang lebih tinggi.
22. Kerana itulah, walaupun dalam keadaan kerajaan perlu mengawal defisit negara, YAB Perdana Menteri masih bersedia untuk menawarkan penambahbaikan skim perkhidmatan pendidikan, dengan memberi nafas baru kepada kaedah kenaikan gred, khususnya secara time-based. InsyaAllah, dengan pengumuman yang telah dibuat oleh YAB Perdana Menteri, ramai guru akan menikmati manfaat kenaikan gred yang lebih cepat selepas ini.
23. Begitu juga dengan pertambahan jumlah jawatan Gred Khas C daripada 36 kepada 72 jawatan untuk guru-guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran. Pertambahan sebanyak 100 peratus ini akan memperluaskan peluang guru-guru di bilik darjah untuk memegang gred tertinggi dalam perkhidmatan awam tanpa perlu menjawat jawatan pentadbiran. Pewujudan jawatan Guru Wibawa dan Pendeta Guru yang bakal memegang gred tertinggi dalam perkhidmatan awam juga merupakan satu isyarat jelas bahawa kerajaan amat serius dalam memartabatkan profesyen keguruan.
24. Selain itu, kenaikan gred Pengetua daripada DG48 kepada DG52 dan Penolong Kanan daripada DG44 kepadaDG48 adalah satu pengiktirafan kepada jawatan Pengetua dan Penolong Kanan sekolah menengah. Kenaikan gred ini adalah setimpal dengan pertambahan bebabanan yang terpaksa ditanggung oleh para pengetua dan penolong kanan. InsyaAllah, kenaikan ini akan menambah minat guru-guru untuk memegang kedua-dua jawatan ini yang amat penting dalam kepimpinan sekolah.

Kerjasama Dengan Kesatuan Guru dan Ibubapa
25. Usaha memartabat profesyen keguruan adalah satu proses yang berterusan. Untuk itu, kerajaan sentiasa berusaha untuk menyediakan pelbagai bentuk insentif kepada guru-guru dan menambahbaik keseluruhan perkhidmatan pendidikan dari masa ke semasa, termasuk penambahbaikan dalam Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD). Dalam hubungan ini, saya akan bekerjasama dengan kesatuan-kesatuan guru untuk melihat isu-isu yang berkaitan dengan profesyen keguruan secara lebih terperinci dan menyeluruh, serta mencari kaedah terbaik untuk terus memartabatkan profesyen keguruan agar setara dengan darjat kemuliaannya. Pihak Kementerian juga akan terus mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menyelesaikan beberapa perkara berkaitan dengan perjawatan guru yang telah dibawa kepada perhatian Kementerian sebelum ini. Pihak Kementerian juga akan mempergiatkan program pensiswazahan guru untuk memartabatkan profesyen keguruan di samping memastikan semua guru dapat menikmati pelbagai faedah yang disediakan untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah.
26. Selain itu, dalam usaha kita untuk menjayakan agenda pendidikan negara, peranan ibubapa tidak kurang pentingnya. Malah, ibubapa adalah insan yang paling penting dalam menentukan kecemerlangan pendidikan anak-anak. Justeru, saya juga ingin mengajak ibubapa supaya menjadikan sekolah sebagai milik masyarakat. Ibubapa boleh memberikan sumbangan secara langsung kepada sekolah melalui pelbagai kegiatan sukarela yang dapat membantu melonjakkan prestasi sekolah. Dalam hubungan ini, Persatuan Ibubapa dan Guru boleh memainkan peranan yang proaktif dalam menggalakkan ibubapa untuk menyumbang secara langsung kepada pembangunan sekolah, yang pastinya akan membantu anak-anak untuk meningkatkan pencapaian dalam pendidikan.

Penutup
27. Saya yakin dengan adanya guru-guru yang berdedikasi, kepimpinan kesatuan guru yang proaktif dan ibubapa yang prihatin, InsyaAllah, kita akan dapat menjayakan proses transformasi pendidikan di negara kita dengan cemerlang. Atas segalanya, guru-guru merupakan pemimpin dan penjana utama transformasi negara. Dengan keringat gurulah kita melahirkan insan yang mulia; dengan kudrat gurulah kita membina masa depan yang sejahtera.
28. Dengan amanah besar ini, guru-guru menduduki satu darjat yang paling dimuliakan dalam masyarakat. Bak kata pujangga:
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
29. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada guru-guru yang telah terpilih sebagai tokoh guru sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini. Kepada semua guru, sekali lagi saya mengucapkan Selamat Hari Guru. Semoga para guru sekalian akan terus diberi kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk terus menabur jasa kepada nusa dan bangsa.
“Selamat Hari Guru”. “Terima Kasih Cikgu”.
Wabillahi al-taufik wa al-hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

22 May 2011

Perutusan Hari Guru 2011-Perdana Menteri Malaysia

Berikut adalah perutusan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sempena sambutan Hari Guru.
Dalam perutusannya itu, perdana menteri telah mengumumkan beberapa kaedah baru kenaikan pangkat untuk guru cemerlang dan juga kenaikkan pangkat untuk lebih 1,200 guru dari Gred DG48 ke Gred DG52.
BismilLahirRahamanirahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.
Para guru yang dirai dan dimuliakan sekalian,
1. Pada hari yang bermakna ini, saya ingin mengambil peluang sebagai Perdana Menteri Malaysia juga bagi pihak kerajaan, rakyat, diri saya dan isteri untuk mengucapkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada para guru. Hari ini merupakan hari kita meraikan serta memberi pengktirafan kepada mereka.
2. Sesungguhnya, jasa mereka yang begitu besar, budi mereka yang ditabur serta khidmat bakti mereka kepada negara tidak mungkin akan dapat diimbal dengan seadilnya. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu memberikan ganjaran setimpal.
3. Hakikatnya, sejarah pembangunan Malaysia dilakar melalui kalam para guru, ia disuburkan hasil jerih payah dan pengorbanan warga pendidik di bilik-bilik darjah dan padang-padang permainan. Sebetulnya lagi, sebuah negara yang maju, sebuah tamadun yang hebat, tidak mungkin terbina tanpa insan yang bergelar guru.
4. Hari ini, di setiap ceruk rantau negara, para guru tanpa mengenal penat lelah senantiasa membawa cahaya harapan kepada anak-anak Malaysia. Para gurulah yang membuka pintu gedung ilmu pengetahuan, membolehkan penerokaan khazanah minda seterusnya mengoptimumkan potensi modal insan negara.
5. Setiap kejayaan nasional dari transformasi negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, tercatat di celah-celah lipatan kudratnya para guru. Begitu juga lompatan transformasi berikutnya ke arah negara maju berpendapatan tinggi memerlukan sentuhan para guru sesuai dengan tema sambutan tahun ini “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”.
6. Lantaran itu, menyedari bebanan tugas dan pengorbanan yang telah dibuat para guru, maka kerajaan telah memutuskan untuk menambahbaik skim perkhidmatan Guru Malaysia. Sehubungan itu, sukacita saya maklumkan kerajaan telah bersetuju bahawa:
7. Sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam Perkhidmatan Perguruan dan dalam memartabatkan profesyen keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya time-based perlu diberi nafas baru.
8. Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun. Makanya, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya.
9. Oleh yang demikian, Kerajaan memperkenalkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran atau PDP yakni Guru Wibawa dan Pendeta Guru di mana guru akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan Pertamanya: Guru Biasa, keduanya: Guru Kanan, ketiganya: Guru Wibawa dan keempat: Pendeta Guru. Jelasnya, pewujudan empat lapisan jawatan tersebut akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.
10. Selain itu, melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.
11. Satu lagi berita baik bagi mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan, mereka boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara. Namun, untuk guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan. Untuk ini, Kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100% dengan menambah jumlah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru.
12. Selanjutnya, sebagai membuktikan lagi kesungguhan Kerajaan dalam memartabatkan profesyen keguruan, Kerajaan bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan. Manakala, semua Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 akan melibatkan 6,585 jawatan. Seterusnya, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah Kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan.
13. Khabar gembiranya Insyaallah, tarikh kuat kuasa pelaksanaan semua perubahan yang dinyatakan tadi akan bermula pada 1 hb Januari 2012.
Para guru yang dimuliakan sekalian,
14. Begitulah, betapa pihak kerajaan amat memandang tinggi profesyen keguruan di negara ini. Hakikatnya, setiap seorang daripada kita tidak kiralah sama ada beliau seorang Pemimpin, Pentadbir, Doktor, Peguam, Akauntan, Jurutera, Ahli Sukan atau apa jua pun kerjayanya, telah terasuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru.
Pujangga bermadah:
Guru umpama kandil yang terang menyala,
Suluh cahayanya penerang jalan,
Sepatah kata dijadikan pelajaran,
Segumpal pesan dijadikan pedoman,
Ilmu dicurah mengorak alam terkembang.
15. Akhir kata, mudah-mudahan para guru sekalian terus ikhlas dan bersemangat menabur jasa serta khidmat bakti kepada anak-anak watan demi sebuah Malaysia.
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

18 May 2011

Lawatan ke Universal Studio

Lawatan ke Universal Studio-Singapore

Pada hari Sabtu yang lepas  bersamaan 14 Mei 2011 kami bersama-sama dengan guru-guru SMK Dato Onn Batu Pahat telah membuat lawatan ke Singapore. Destinasi kami ialah  ke Universal Studio, Sentosa Singapore. . Seramai 38 orang peserta, telah menaiki bas persiaran dari Batu Pahat ke Singapore. Kami tiba di lokasi yang dituju pukul 11.00 pagi.


Penulis
Di bahagian hadapan pintu masuk terdapat satu replika  glob yang tertera dengan tulisan Universal Studio. Replika ini memberikan gambarakan situasi  dan keadaan yang ada di dalam studio berkenaan. Pengunjung pasti akan tertarik  untuk masuk ke studio berkenaan. Apa yang menarik  di lokasi ini ialah glob berkenaan berpusing dan boleh dilihat dari semua arah. Pengunjung pasti  akan teruja dengan situasi ini.







Penulis bersama ahli rombongan
Di sini kami telah melawat ke beberapa tempat yang menarik. Misalnya kami telah membuat lawatan ke  tempat  pengambaran filen 'The Lost World". Kami telah ditunjukkan bagaimana  sesuatu pengambaran dilaksanakan di dalam studio. Walaupun tempatnya tidak seluas  mana, tapi pemgambaran yang dilakukan seolah-olah kita berada   dalam  dunia sebenar.







Video: The Lost World

Kami juga dapat menyaksikan  persembahan  di studio "Donkey Life".  Kami  boleh berinteraksi secara life dengan donkey  di skrin studio. Persembahan ini amat menarik dan mengkagumkan kami Tidak ketinggalan juga di studio 4D kami diberi penerangan bagaimana  pembuatan filem 4D. Setelah itu kami masuk kestudio 4 D. Di sini kami dipersembahkan dengan pengambaran filem 4D. Kami diberi cermin mata khas 4D untuk merasai situasi sebenar. Kami seolah-olah berada dalam situasi sebenar mengikut cerita dalam filem berkenaan. Sungguh menarik sekali....



Sci Fi

Satu lagi lokasi yang menjadi tumpuan kami  ialah di Sci Fi. Di sini disediakan kemudahan kepada pengunjung  untuk menaiki Sci Fi. Pengunjung seperti kami  perlu ketahan  fizikal dan mental sebelum menaiki Sci-Fi. Amat menakjubkan dan mengkagumkan .



9 May 2011

8 May 2011

Pengenalan

Pengenalan

7 May 2011

My LMS

Pengurusan Gerko KPLI
TMK Dalam Pendidikan Jasmani

Video Korporat JTP

Video Korporat Jabatan Teknologi Pendidikan

Video Korporat ini diterbitkan sempena Perhimpunan Bulanan Staf  Bil 5/2011. Perhimpunan ini dikendalikan oleh Jabatan Teknologi Pendidikan IPG Kampus Tun Hussein Onn.

Video ini memapaparkan  tentang seloka Warga Jabatan Teknologi Pendidikan. Seloka bermula dengan  penampilan Ketua Jabatan  Teknologi  Pendidikan, diikuti dengan Timbalan KJ, Ketua Unit TP dan Ketua Unit TMK. Selepas itu diikuti dengan pensyarah-pensyarah lain  Jabatan Teknologi Pendidikan dengan memfokuskan kepada  bidang tugas yang dilaksanakan. Tidak ketinggalan juga  fungsi staf sokongan JTP dipaparkan bersama.

Bahagian kedua video ini  mengisahkan tentang kemudahan-kemudahan yang tedapat di Jabatan Teknologi Pendidikan seperti Bulik Multimedia, Bilik Rakaman  dan sebagainya. Tidak ketingalan fungsi laman web jabatan juga diketengahkan dalam video ini. Bahagian seterusnya ialah memapaparkan tentang aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan sepanjang tahun 2011 dan juga aktiviti-aktiviti lepas.

Video ini telah dibangunkan oleh Muhammad Amin Simon sebagai Pengarah Projek  , Penyunting video dan audio . Di samping itu  beliau bertindak sebagaai penerbit video Korporat JTP. Tidak ketinggalan  penerbitan ini dibantu oleh Pn. Haslina Mohamad, sebagai penulis skrip, pembangun montaj, En. Zelkepli Shaharom sebagai Jurukamera video dan suara latar sementara  En. Ismail Jaafar juga sebagai suara latar.

Dengan penerbitan video korprat ini dapat dijadikan sebagai titik tolak untuk penerbitan video-video yang lain.

aminiptho-2011

JTP

Perhimpunan Bulanan Staf Bil 5/2011  Kendalian Jabatan Teknologi Pendidikan

Jabatan Teknologi Pendidikan diberi tugas untuk mengendalikan Perhimpunan Bulanan Staf Bil 5/2011IPG Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat.Perhimpunan ini dijalankan di Balai Ilmu pada 9 Mei 2011 hari Isnin bermula pukul 8.00 pagi. Perhimpunan ini dihadiri oleh semua staf akademik dan staf sokongan yang jumlahnya  kira-kira 145 orang.
Perhimpunan bulanan ini dimulakan dengan
  • Ucapan Pengacara majlis
  • Nyanyian Lagu Negaraku
  • Nyanyian  Lagu IPTHO
  • Bacaan doa
  • Bacaan Ikrar
  • Persembahan Video Korporat Jabatan Teknologi Pendidikan
    Bicara
  • Ucapan Pengarah
  • Penyampaian cenderahati
  • Nyanyian  Lagu IPG
  • Nyanyian Lagu Bangsa Johor
Kehadiran staf akademik dan staf sokongan pada majlis ini amat menggalakkan.
aminiptho-2011

Lagu1

Lagu Negaraku



Lagu  Negaraku akan dipersembahkan pada majlis rasmi peringkat  IPG,pewringkat negeri atau negara. Lagu ini dapat menimbulkan semangat patriotisme di kalangan pendengar.



 Lagu Bangsa Johor


 Lagu  Bangsa Johor akan dimainkan ketika majlis rasmi diadakan. Lagu ini pada kebiasaannya akan dipersembahkan  sama ada di permulaan majlis atau di akhir majlis bergant8ung kepada situasi dan objektif majlis ini diadakan.