Penilaian Perisian Multimedia Interaktif Topik “Jalur Gemilang” :
Satu Kajian Kes
Pengenalan
Wan Mohd Zahid Mohd Noordin (1993) menyatakan untuk mencapai sistem pendidikan yang cemerlang, perlulah berganjak dari norma kebiasaan kepada yang lebih kreatif, inovatif dan imaginatif. Untuk menyempurnakan amanah bangsa dan negara, seharusnya diwujudkan sistem pendidikan yang terbaik untuk menghasilkan insan yang mempunyai daya ketahanan tinggi bagi memenuhi aspirasi dan kehendak individu, masyarakat dan negara. Untuk ini juga, budaya berfikir yang melibatkan bukan sahaja andaian-andaian, malah perubahan cara berfikir, cara bekerja, cara mengurus, pedagogi dan sebagainya.
Kementerian Pelajaran telah mengedarkan 1,000 salinan CD –ROM perisian multimedia dan diedarkan kepada 80 buah sekolah bestari, 500 sekolah yang terbabit dengan program komputer dalam pendidikan di seluruh negara di samping 14 Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN), 352 Pusat Kegiatan Guru (PKG), dan 27 Institiut Pendidikan Guru (IPG), serta beberapa Bahagian Kementerian Pelajaran. Selain itu,
pembangunan perisian dibangunkan dengan tujuannya untuk menarik minat pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran di samping menambahkan minat pelajar untuk belajar sesuai dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara yang menghendaki pelajar seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek serta mempunyai ciri keterampilan.
Pernyataan Masalah
Di sekolah mata pelajaran Sejarah merupakan mata pelajaran wajib di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Menurut Talib (1999). Guru hanya menggunakan kaedah tradisional iaitu menghafal, berbincang bercerita dan banyak lagi kaedah yang membosankan pelajar. Mohd Fazli (2008) pengajaran yang menggunakan media pengajaran membantu pelajar berinteraksi dengan lebih efektif dan melibatkan diri semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran dan pembelajaran akan lebih mudah dan menarik jika menggunakan bahan bantu mengajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran menurut Laporan Nazir (2009). Kajian yang telah dijalankan oleh Perkhidmatan Pendidikan Media, Kementerian Pendidikan (1986) telah menunjukkan bahawa kejayaan pembelajaran banyak bergantung kepada usaha guru yang boleh menyesuaikan teknik dan bahan dalam aktiviti dan projek pembelajaran.
Objektif Kajian
Objektif utama Kajian Kes ini adalah untuk menilai keberkasan berbantukan CD Interaktif bagi tajuk Bendera Kita mengikut sukatan Sejarah Sekolah Menengah Tingkatan Lima. Tajuk Perisian ini ialah Jalur Gemilang . Objektif kajian ini dilaksanakan adalah seperti berikut:
i. Keberkesanan penggunan perisian multimedia yang dinilai dari aspek
prestasi pencapaian pelajar tingkatan 5 bagi tajuk Bendera Kita.
ii. Mengenalpasti samada pembelajaran menerusi multimedia ini dapat merangsang minat pelajar dalam mata pelajaran Sejarah berbanding pengajaran tanpa perisian.
iii. Meningkatkan daya perhatian dan tarikan pelajar dalam proses pembelajaran.
iv. Kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (kemahiran analisis).
Kepentingan Kajian
Kepentingan kajian ini kepada pelajar ialah untuk melihat keberkesanan pengunaan perisian yang dinilai melalui ujian pra dan ujian pos. Diharap pelajar dapat menggunakan bahan perisian multimedia dengan berkesan. Ini kerana pembelajaran berbantu multimedia dapat mempelbagaikan bahan rujukan pelajar kerana ia boleh diaplikasikan dengan pelbagai aktiviti pembelajaran seperti teks, meneliti gambar, video, visual pembelajaran dan sebagainya. Selain daripada itu, menurut Sharifah Alawiah Alsagof (1987) pelajar tidak perlu terikat dengan sesuatu gaya pembelajaran kerana pembelajaran berbantu multimedia ini dapat menangani masalah perbezaan pelajar dengan mengindividukan pengajaran mengikut kebolehan mereka. Zol Bahri Razali (2001) pula menyatakan penggunaan bahan perisian multimedia secara tidak langsung akan meningkatkan kefahaman pelajar seterusnya meningkatkan pencapaian pelajar.
METODOLOGI KAJIAN